KEMENANGAN keempat dalam saingan Liga Juara-Juara diharap dapat meningkatkan prestasi Liverpool selepas aksi hambar dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, kemenangan 3-0 ke atas Ajax untuk mara ke kelompok 16 terakhir mampu menjadi penyuntik semangat buat pemain.
The Reds menang lebih banyak aksi Liga Juara-Juara musim ini berbanding 11 aksi EPL selepas kemenangan keempat berturut-turut di Amsterdam.
Ledakan pemain sensasi, Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Harvey Elliott membawa The Reds mara ke peringkat kalah mati buat kali keenam berturut-turut.
"Kami mara ke pusingan kalah mati dan tidak sesekali memandang rendah perkara itu.
"Ia sangat membantu kelab, sudah tentu ia meningkatkan pasukan.
"Kami rasa hebat dan ada beberapa hari untuk bersedia menghadapi Leeds United," ujar Klopp.
Kemenangan itu membolehkan The Reds menghuni tangga kedua Kumpulan A dengan 12 mata ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Napoli.
Kekalahan menamatkan peluang Ajax untuk mara ke pusingan berikutnya.
Perbezaan prestasi Liverpool dalam aksi domestik dan Eropah ditunjukkan menerusi rekod jaringan Salah.
Daripada sembilan gol penyerang Mesir itu musim ini, enam daripadanya ialah dalam Liga Juara-Juara.