SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan manusia yang aktif sejak Mei lalu akhirnya tumpas dalam serbuan di Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Ops Gelombang bermula jam 6 petang oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Kelantan itu berjaya menahan lapan lelaki tempatan berusia lingkungan 17 hingga 37 tahun.
Menurutnya, turut ditahan seramai 49 orang pedatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar terdiri daripada 32 lelaki, 16 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus.
"Semasa serbuan, terdapat transporter tempatan dan PATI yang cuba melarikan diri, namun gagal kerana kawasan berkenaan telah dikepung.
"Pasukan operasi juga mengambil tindakan berjaga-jaga kerana sindiket ini dipercayai agresif dan bersedia melakukan ancaman fizikal untuk melepaskan diri," katanya dalam kenyataaan pada Khamis.
Ujarnya, Imigresen turut merampas 10 buah kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM200,000 yang digunakan sindiket untuk membawa PATI.
Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan, modus operandi sindiket ini adalah menyeludup PATI melalui jalan laut melintasi sempadan Malaysia -Thailand dengan mengambil bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 setiap seorang.
Tambahnya, kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang serta Johor untuk bekerja secara tidak sah dan bagi PATI wanita, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.
"Siasatan mendapati transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas awam sebelum menaiki kenderaan awam yang ditetapkan.
"Selain PATI dari Myanmar, sindiket juga menyasarkan PATI Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini," ujarnya.
Tegas beliau, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.