KUALA LUMPUR - Kegagalan sebahagian ahli Parlimen sebelum ini untuk menguasai bahasa Melayu dengan fasih ketika membahas isu-isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat, pernah menjadi perdebatan hangat dan dipersoalkan banyak pihak.
Ini memandangkan ia bukan sahaja merupakan bahasa kebangsaan negara, tetapi juga menjadi bahasa rasmi di Dewan Rakyat sepertimana dinyatakan dengan jelas di bawah Peraturan Mesyuarat 8 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Selain ia juga merupakan ‘pembawa’ kepada suara-suara rakyat dalam pelbagai isu di sesuatu kawasan Parlimen untuk diambil perhatian di peringkat atasan.
Berdasarkan pengalaman sebelum ini, terdapat pandangan pakar bahasa dan penganalisis politik yang mahukan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat menguasai sebaiknya bahasa ibunda itu supaya situasi sama di Dewan Rakyat sebelum ini tidak berulang.
Mengulas mengenainya, pakar bahasa Melayu, Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, penguasaan bahasa Melayu yang baik bukan sahaja memberi kelebihan kepada pemimpin untuk mudah berkomunikasi malah lebih penting dapat menyampaikan dasar dan agenda kerajaan dengan tepat kepada rakyat.
"Bagi saya, apabila ada wakil parti (politik) yang dilantik sebagai pemimpin tidak boleh berbahasa Melayu, itu bukan isu politik tetapi isu negara kerana kita kena ingat bahawa bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu, tetapi bahasa kebangsaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang merupakan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan calon bukan sahaja memudahkan komunikasi dengan masyarakat setempat, tetapi juga mendaulatkan bahasa tersebut.
Malah, ini juga selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu penggunaan bahasa rasmi dalam setiap urusan rasmi negara termasuk persidangan antarabangsa.
Keputusan Perdana Menteri itu juga sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, dengan kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadi contoh terbaik dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan.
"Bagi saya, kita perlu sokong apabila ada parti politik terutamanya yang bukan dalam kalangan kaum Melayu yang mahu memartabatkan bahasa Melayu dengan memilih calon yang benar-benar fasih berbahasa kebangsaan. Malah, usaha seperti ini harus diperluaskan lagi kepada parti-parti politik lain,” katanya.
Dominic berkata, penguasaan bahasa Melayu adalah antara kriteria yang akan dipertimbangkan dalam pemilihan calon parti itu.
Pandangan sama turut disuarakan pensyarah kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yang melihat penguasaan bahasa Melayu yang baik wajar menjadi prasyarat utama dalam pemilihan calon yang bertanding pada pilihan raya kali ini.
"Pendekatan itu tepat kerana kita mahu mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat dapat berkhidmat dengan lebih efisien supaya tidak menimbulkan pemahaman bahasa dan budaya setempat,” katanya. - Bernama