KANGAR – Tiada simptom kehamilan seperti kelahiran anak pertama, kitaran haid normal setiap bulan selain mengambil pil perancang menjadi punca seorang suri rumah terkejut dengan kelahiran bayi perempuannya secara tiba-tiba.
Menurut Nur Atiqah Mustafa, 24, tanda-tanda kehamilan berbeza berbanding semasa mengandungkan anak sulungnya yang baru berusia setahun dua bulan itu juga menyebabkan dia sama sekali tidak mengesyaki dirinya hamil lagi.
"Memang tiada sebarang simptom seperti saya hamil anak pertama dulu. Masa anak pertama, adakalanya berasa loya, hilang selera makan malah fizikal saya seperti muka dan badan juga 'kembang' serta perut nampak besar.
"Tetapi kali ini langsung tiada tanda malah tiada juga alahan. Semuanya macam biasa dan saya sendiri pun tidak tahu hamil kerana kitaran haid seperti biasa,” katanya ketika ditemui dirumahnya pada Rabu.
Nur Atiqah yang mesra dengan panggilan Eyka berkata, dia mula merancang kehamilannya dengan mengamalkan pengambilan pil perancang keluarga yang dibeli dari sebuah farmasi berdekatan kediamannya di Bintong, di sini.
Bercerita mengenai proses kelahiran ‘bayi ajaib’ yang diberi nama Raiqa Hanania, ibu muda itu memberitahu, dia dan suaminya, Amirul Azizan, 26, turut tidak menjangka rasa sakit perut dialaminya pada malam 18 Oktober lalu bukanlah sakit biasa.
"Suami yang segera melihat keadaan selepas terdengar jeritan saya terkejut apabila ternampak kepala bayi dan terpaksa menjadi bidan terjun menyambut kelahiran anak kedua kami. Saya kemudian meminta suami untuk menghubungi pihak ambulans untuk ke hospital selepas selamat melahirkan anak itu,” ujarnya.
Tambahnya, bayi perempuan seberat 3.7 kilogram yang dilahirkan sekitar jam 8.45 pagi disahkan sihat dan normal oleh doktor yang merawatnya.
Eyka yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama pemandu lori pasir itu berasa gembira dengan kelahiran bayi perempuan tersebut walapun mereka tidak membuat sebarang persiapan untuk menyambut kedatangan orang baharu.