IPOH - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu melayan sebarang serangan peribadi terutama dengan penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Jelas beliau, kehadirannya di kerusi Parlimen Tambun bukan pertembungan peribadi kerana bapa dan bapa mentua Ahmad Faizal merupakan rakan baiknya ketika di dalam UMNO.
Menurutnya, tawaran yang lebih baik mahu diberikan PH terhadap pengundi di Tambun di sebalik kehadirannya.
"Saya tidak mahu melayani pertembungan peribadi terutama saudara Peja kerana ayahnya Allahyarham Datuk Azumu Tak sahabat baik saya, ayah mentuanya, (Datuk Mohammed Radzi Manan) juga sahabat baik saya yang merupakan tokoh yang banyak membantu saya ketika dalam UMNO.
"Saya tak mahu menjadi gelanggang lawan peribadi kerana kita menawarkan sesuatu," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini pada Khamis.
Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi.
Anwar berkata, kerusi Parlimen Tambun dipilih bagi melonjakkan kekuatan PH di Perak selain sebagai usaha menawan Putrajaya.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memulakan aktiviti menemui pengundi dan jentera di kawasan itu hari ini dengan lima program diatur di sekitar Manjoi dan Chemor.
Pada 20 Oktober lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 ini.
Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh.
Kerusi Parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menang bertanding atas tiket PH pada PRU14 lepas dengan majoriti 5,320 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas).