Perbicaraan kes seksual Safiey Ilias Julai tahun depan

Iklan
Safiey (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis bagi prosiding sebutan kes jenayah seksual terhadap dua remaja lelaki melalui aplikasi Instagram tahun lalu.

AMPANG - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menetapkan perbicaraan kes jenayah seksual membabitkan usahawan kosmetik, Safiey Ilias terhadap dua remaja lelaki melalui aplikasi Instagram tahun lalu, bermula Julai tahun depan.

Hakim Norhazani Hamzah menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju prosiding perbicaraan ditetapkan bermula 24 hingga 27 Julai.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim memaklumkan telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.

"Seramai 12 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan," katanya.

Iklan

Sementara itu, peguam Harjeet Singh Sidhu yang mewakili Safiey mengesahkan telah menerima dokumen berkaitan kes.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 17 April 2023 untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula.

Iklan

Mengikut dua pertuduhan, Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu didakwa berkomunikasi secara seksual melalui platform Instagram dengan dua remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.

Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi pada jam 9 pagi, 9 Jun 2021.

Bagi kesemua perbuatan itu, Safiey didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pihak polis menerima laporan berhubung dua pemilik akaun dikenali sebagai ‘safieyillias94’ dan ‘pipinatasha’ berpakaian mencolok mata semasa mengadakan sesi perbualan sidang video secara langsung bersama rakannya di Instagram, yang disertai dua kanak-kanak bawah umur.

Dalam pada itu, Safiey atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 28, berkata, bersedia untuk menghadapi perbicaraan kes.

Ketika ditemui di luar mahkamah sejurus prosiding sebutan kes selesai, dia tiada masalah berdepan dengan situasi itu kerana sepanjang kes berlangsung dia telah memberi kerjasama yang baik.