KOTA BHARU - Peluang pekerjaan, pawagam, isu air, capaian internet, tempat riadah antara perubahan yang dituntut oleh anak muda di negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata pengundi muda mahu menggunakan peluang julung kali itu sebaik mungkin bagi memilih pemimpin dan parti yang boleh merealisasikan hasrat berkenaan.
Siti Nurul Azimatul Adawiyah Mohd Nasir, 24, yang akan mengundi di Parlimen Kota Bharu berharap satu panggung wayang patuh syariah dapat dibuka bagi memberikan kemudahan kepada penduduk untuk menonton filem tanpa perlu ke Terengganu.
"Kami faham Kelantan dikenali sebagai negeri serambi Makkah tetapi pawagam patuh syariah boleh diadakan. Sudah lama kami menginginkan sebuah pawagam sepertimana yang ada di negeri lain.
"Sekarang kalau hendak menonton wayang bukan saya sahaja tetapi orang lain juga terpaksa ke Terengganu dan ada yang sehingga ke Kuala Lumpur," katanya.
Turut berkongsi hasrat yang sama ialah Amin Syahmi Azahar, 18, dari Parlimen Tumpat.
Menurutnya, selain itu Kelantan perlu perbanyakkan kawasan riadah untuk rakyat kerana disebabkan kekurangan tempat sedemikian mereka terpaksa keluar ke negeri lain untuk mendapatkan suasana.
Bagi Fatin Atirah Zulkifli, 20, dia berharap sangat peluang pekerjaan dapat diperbanyakkan di negeri ini bagi mengelakkan mereka berhijrah.
"Saya lihat keluarga sendiri, saudara mara dan rakan-rakan terpaksa meninggalkan keluarga tersayang untuk berhijrah mencari pekerjaan.
"Di sini bukan setakat gaji murah yang ditawarkan tetapi peluang pun tiada," katanya yang mengundi di Parlimen Kubang Kerian.
Pengundi Parlimen Tanah Merah, Nurshafikah Muhamad Rusni, 19, berkata, antara isu yang paling mengganggu kehidupannya ialah masalah bekalan air bersih.
"Kami sudah tidak larat untuk berdepan masalah ketiadaan bekalan air. Kalau ada sekalipun yang keluar adalah air keruh seperti 'teh o'. Jadi saya harap kepimpinan akan datang dapat menyelesaikan isu air secepat mungkin kerana rakyat sudah terbeban dengan masalah ini sudah terlalu lama.
"Itu belum bercakap soal jalan berlubang. Jadi hargailah kami yang telah memberi undi kepada anda sehingga dilantik menjadi wakil rakyat. Laksanakanlah amanah dan tanggungjawab itu sebaik mungkin," katanya.
Nurul Farhana Zulkarnain, 20, pengundi Parlimen Kota Bharu pula berharap capaian internet di negeri ini dapat ditingkatkan bagi memudahkan para pelajar mengikuti pengajian dengan lancar.
Katanya, internet sangat penting dalam kehidupan harian sebagai pelajar tetapi ia sering terganggu kerana perkhidmatan di negeri ini sangat lemah.