KOTA BHARU - Program Visa Premium (PVIP) Malaysia fasa pertama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapat sambutan menggalakkan dengan 10,300 permohonan diterima bermula 1 Oktober lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, setakat tempoh itu juga sebanyak RM4 juta wang deposit membabitkan sejumlah 2,000 pemohon diterima.
"KDN sudah mengeluarkan surat kepada syarikat yang membuat membuat permohonan membabitkan jumlah sebanyak 10,300 pemohon.
"Proses akan mengambil masa kerana kami perlu melakukan semakan dengan teliti selain bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memastikan pemohon adalah layak dan menguntungkan negara,” katanya pada sidang akhbar di Program Kita Demi Negara Zon Timur KDN di Lembah Sireh di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Hamzah berkata, PVIP akan diberikan dalam tempoh 20 tahun dan akan dipanggil untuk semakan setiap lima tahun.
"Dalam masa lima tahun itu, jika pemegang PVIP melakukan kesalahan, kami akan batalkan PVIP tersebut.
"Deposit RM4 juta yang sudah diterima tersebut menunjukkan bahawa ramai orang hendak tinggal di Malaysia,” katanya.
PVIP Malaysia disasarkan kepada hartawan global dari semua negara asing, kecuali Israel atau negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Peserta program itu tidak layak memohon atau menukar taraf kepada warganegara Malaysia.