IPOH - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kempennya di kerusi Parlimen Tambun tidak menjurus kepada tindakan mencerca lawan.
Malah beliau mengharapkan calon-calon lain yang bertanding turut berkempen secara matang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
"Saya tak mahu menang kerana cerca lawan, tak payah. Saya nak menang insya-ALLAH, kerana keyakinan rakan-rakan tentang apa yang boleh saya lakukan untuk kerusi Parlimen Tambun dan negara Malaysia.
"Sepanjang kempen ini, saya juga beritahu kawan-kawan kita, tak usah, tak perlu cerca mereka. Kalau orang tahu, tahu, tak tahu tak apa... sudah. Tapi kita kena jaga ini (akhlak)," katanya kepada ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Veteran Pesara Tentera di Dewan Orang Ramai RPT Batu 10 Chepor di sini pada Khamis.
Hadir sama dalam program berkenaan, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak merangkap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.
Sementara itu, Anwar menjelaskan, program bersama veteran tentera itu merupakan salah satu program rasmi pertamanya selepas mengumumkan diri bertanding di kerusi Parlimen Tambun.
Dalam satu program sebelum itu, Pengerusi PH itu hadir bertemu masyarakat di Sungai Kanthan sempena Pesta Lei Cha bersama DAP.
Ketika program berkenaan Anwar sempat berseloroh kepada orang ramai yang hadir bahawa beliau yakin memenangi kerusi Parlimen itu selepas melihat jumlah kehadiran pada majlis tersebut.
Anwar memulakan aktiviti menemui pengundi dan jentera di kawasan itu pada Khamis dengan lima program diatur di sekitar Manjoi dan Chemor.