KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) buat masa ini meskipun mengakui mekanisme itu antara langkah terbaik bagi menambah pendapatan negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perlaksanaan cukai itu memerlukan perbincangan di peringkat Kabinet dan dibentangkan di Parlimen.
Beliau memberitahu, GST yang dilaksanakan di lebih 160 buah negara terbukti lebih baik bagi membolehkan negara menjana pendapatan lebih stabil dan pengurusan cekap dan berkesan.
"GST ini lebih efisien dan mengurangkan ketirisan, malah ia dapat membantu membangunkan sesebuah negara seterusnya membantu kehidupan rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dan hari keluarga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kuala Selangor di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Menurut Tengku Zafrul, pada masa ini kutipan cukai negara kurang 11 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling rendah di Asia Tenggara berbanding tahun sebelum ini.
"Tetapi ini tidak bermakna kita perlu laksanakan GST dalam masa terdekat, tetapi dalam jangka masa panjang apa yang penting ia bukan membebankan rakyat, sebaliknya untuk membangunkan negara," ujarnya.