SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mana-mana kerajaan yang bakal dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dirayu agar mengambil serius isu pemeliharaan alam sekitar dengan menggazetkan Banjaran Titiwangsa sekali gus meminda Akta Perhutanan Negara 1984.
Pengasas Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, langkah itu demi memastikan tiada lagi tangan-tangan rakus yang merosakkan alam sekitar sehingga menjadi punca kepada bencana yang berlaku di negara ini.
Menurutnya, meskipun perkara itu telah lama disuarakan dengan lantang, belum ada pemimpin yang dilihat benar-benar memberi keutamaan mengenai pelbagai isu kerosakan alam yang berlaku disebabkan tangan manusia.
"Bukan saya anti pembangunan tapi kita kena seimbang antara pembangunan dan penjagaan alam. Apa yang terjadi kat negara kita ini, kita tak sekali-kali menjaga alam.
"Pemimpin kita asyik sibuk berpolitik, sibuk projek, sibuk nak bina itu bina ini terlampau banyak sangat mega projek sampai kita tarah bukit, dan hutan.
"Binatang kita juga banyak yang pupus, flora fauna kita pupus, Orang Asli kita terseksa untuk cari makan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Bersampan ketika PRU?' yang dihoskan oleh Sam Ghani, disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Beliau menegaskan, dalam aspek penjagaan alam sekitar, khazanah-khazanah alam berada di tangan pihak-pihak pemimpin-pemimpin yang paling berkuasa.
"Jadi mereka memilih untuk menjadikan khazanah alam ini sebagai 'bank' mereka kerana undang-undang kita sangat rapuh dalam penjagaan alam. Jadi mereka boleh buat sesuka hati.
"Itu saya minta sangat kerajaan tukar dan meminda akta yang ada. Letakkan hutan-hutan kita di bawah kerajaan Persekutuan bukan lagi kerajaan negeri kerana selagi hutan di bawah kerajaan negeri selagi tulah hutan kita akan habis," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata akibat daripada kerosakan alam yang berlaku dibimbangi akan memberi impak ketika negara meraikan proses demokrasi dalam PRU15 November depan.
Katanya, sukar untuk dibayangkan betapa rumitnya keadaan kawasan yang telibat sekiranya berlaku banjir buruk yang menjejaskan proses pengundian kelak.
"Jadi kita doa sajalah sebab sekarang ni cuaca sudah tidak menentu. Hujan sepanjang tahun dan banjir itu berlaku bila-bila masa saja. Harapan kita sekarang hanya berdoa sahaja.
"Macam mana nak mengundi jika air naik. Nak pergi pusat mengundi..akan terjadi banyak kesusahakan dan kesiksaan kepada rakyat.
"Kita harap tidak hujan dan tidak banjir dan kita minta rakyat keluar mengundi dan undi dengan bijak dengan memilih pemimpin yang baik," katanya.
Mengulas mengenai Kempen Satu Jari Bebas Rasuah yang digerakkan oleh Pasukan Rasuah Busters, beliau yang juga bekas Presiden Peka berkata, apa yang dilaksanakan diharapkan mampu merawat dan menyembuhkan penyakit rasuah dalam negara.
"Rasuah sudah menjadi penyakit utama di negara kita jadi banyak usaha untuk ubahkan rakyat. Jadi ia akan mula dengan pemimpin dulu. Kalau pemimpin kita dapat yang bersih, pada saya insya- ALLAH negara kita akan berubah dan negara kita akan kembali maju daripada segi segala-galanya.
"Kita berdoa sangat kita mesti bekerja sama dan kita mesti berusaha mendapat pemimpin yang insya- ALLAH bersih rasuah, sayangkan rakyat dan paling mustahak, sayangkan khazanah alam sebab ini yang paling mustahak dalam kehidupan kita," katanya.