PETALING JAYA - McDonald’s Malaysia menjadi syarikat makanan dan minuman (F&B) pertama yang menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi manfaat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk melindungi penghantar makanannya.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, apa yang dilakukan McDonald’s Malaysia ini adalah sebagai sokongan kepada inisiatif perlindungan sosial Perkeso, selain menyebarluaskan manfaat SKSPS dan menggalakkan golongan bekerja sendiri mencarum demi melindungi diri mereka.
"SKSPS membolehkan individu yang bekerja sendiri seperti penghantar makanan McDonald’s ini dilindungi di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
"Di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS, kerajaan akan membiayai 80 peratus daripada kadar caruman dan Orang Bekerja Sendiri (OBS) perlu membayar baki 20 peratus sahaja.
"McDonald’s Malaysia mengambil keputusan menaja baki 20 peratus untuk kesemua 5,000 penghantar makanan kami bagi caruman tahun pertama, membabitkan kos sebanyak RM250,000,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz.
"SKSPS merupakan satu skim yang memberi banyak manfaat memandangkan kami kini mempunyai jumlah penghantar makanan yang semakin ramai. Syarikat menyasarkan sejumlah 500 restoran dibuka di negara ini menjelang 2026,” katanya.
Barisan hadapan
Azmir berkata, perkhidmatan penghantaran makanan McDonald’s mendapat permintaan tinggi ketika pandemik Covid-19 mula melanda dan terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.
Menurutnya, jumlah penghantar makanan iaitu OBS di bawah McDonald’s juga semakin bertambah daripada seramai 2,300 (sebelum pandemik) kepada lebih 5,000 penghantar makanan pada masa kini.
"Penghantar makanan adalah sebahagian daripada sistem perniagaan McDonald’s yang juga barisan hadapan syarikat hingga membolehkan McDonald’s sampai ke tahap ini, terutamanya dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan McDelivery.
"Kami ingin memastikan golongan penghantar makanan berasa dihargai melalui pelbagai manfaat atau insentif yang diberikan,” jelasnya.
Azmir berkata, dengan fleksibiliti masa bekerja seharian, penghantar makanan McDelivery bertungkus lumus menjana pendapatan sendiri.
Tambahnya, McDonald’s sedar pertumbuhan ekonomi gig di negara ini dan menyambut baik usaha Perkeso melindungi golongan penghantar makanan melalui pelbagai program yang dirangka sebagai perlindungan sosial di bawah pakej rangsangan ekonomi negara.
"Sebagai sebuah syarikat perkhidmatan makanan terkemuka, McDonald’s ingin melakukan yang terbaik melalui peluang disediakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan kebajikan dan keselamatan penghantar makanan lebih terjaga dan terbela,” ujarnya.
Faedah SKSPS Sementara itu, Subahan berkata, data Perkeso menunjukkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, terdapat 2,869 kes kemalangan melibatkan OBS.
"Daripada jumlah itu, 36 adalah kes kematian melibatkan bayaran faedah Perkeso sebanyak RM6.05 juta.
"SKSPS melindungi OBS dalam 20 sektor informal di negara ini termasuk sektor pengangkutan barangan dan makanan dengan menawarkan lapan jenis faedah seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan serta faedah pengurusan mayat,” tambahnya.
Jelasnya, mengenai kerjasama Perkeso dan McDonald’s, ia bakal menyaksikan kesemua 5,000 rakan penghantar McDonald’s Malaysia dibantu untuk mencarum dengan SKSPS Perkeso.
"Menerusi inisiatif ini, kerajaan membiayai 80 peratus (RM186.20) daripada jumlah keseluruhan Caruman Pelan Kedua SKSPS iaitu RM232.80 bagi perlindungan selama setahun.
"Hasil sokongan ini juga, ejen penghantar makanan yang sepatutnya perlu membayar baki caruman 20 peratus (RM46.60), tidak lagi perlu berbuat demikian kerana mereka bakal menerima tajaan daripada McDonald’s Malaysia,” katanya.
Jelasnya, selepas ini jika ejen penghantar makanan ditimpa kemalangan ketika pergi atau balik dari tempat kerja atau semasa membuat penghantaran kepada pelanggan, mereka akan dilindungi dari segi rawatan atau kos yang berkaitan akan dibiayai oleh Perkeso