KUALA LUMPUR – Perbicaraan membela diri penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram bermula 22 Februari tahun depan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Dalam kes ini pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd Radzuan dan Mohd Shahrom Idris.
Pembelaan bagi pihak bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pula diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.
Azhar: Berapa saksi yang akan panggil kelak?
Gobind: Mungkin 15 saksi (termasuk Syed Saddiq).
Azhar: Cukupkah jika tarikh perbicaraan ditetapkan selama dua minggu?
Gobind: Mohon ditetapkan lebih lama Yang Arif.
Azhar: Menjelang pilihan raya umum (PRU) kelak, saya tahu semua orang akan sibuk, jadi boleh kita tetapkan (perbicaraan) pada tahun depan?
Setelah mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya menetapkan 22 hingga 24 Februari; 13 dan 14 Mac serta 10 hingga 14 April 2023 untuk prosiding tersebut.
Dalam pada itu, Wan Shaharuddin berkata, sekiranya pihak pembelaan ingin menggunakan pernyataan saksi, beliau berharap ia diserahkan seminggu sebelum saksi memberi keterangan.
Pagi Jumaat, bekas Menteri Belia dan Sukan itu diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA.
Azhar memutuskan perkara ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq.