SHAH ALAM - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen di Selangor bersedia berdepan dengan lawan masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar berkata, beliau berterima kasih dengan kepimpinan Pejuang yang memilihnya bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Katanya, pemilihan itu dianggap sebagai satu amanah yang harus digalas dan mahu melihat kawasan Parlimen itu lebih baik berbanding sekarang.
"Pada asalnya saya tidak mahu bertanding di Parlimen Hulu Selangor, tetapi saya fikir perjuangan ini satu ibadah dan mengambil ia sebagai cabaran demi agama, bangsa dan tanah air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Harumaini berkata, sebagai ADUN sejak tahun 2018, beliau kerap menyantuni rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik.
"Setiap hari rakyat jumpa saya misalnya mengadu susah bayar pendaftaran masuk anak ke universiti, tiada duit untuk jalani pembedahan dan terpaksa menyewa peralatan mesin kesihatan tinggi.
"Ini antara aduan yang saya kerap kali temui dan berharap jika kita diberi peluang keluhan sebegini dapat dikurangkan dan dapat membantu mereka menjalani kehidupan tanpa tekanan," jelas beliau.
Beliau memberitahu, beberapa kemudahan seharusnya dibawa di Hulu Selangor termasuk sebuah hospital pakar di Bukit Sentosa.
Ujar beliau, fasiliti kesihatan amat diperlukan penduduk di kawasan itu berikutan jumlah penduduk semakin ramai selain terdapat banyak kes rawatan kritikal terpaksa dirujuk ke Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur.
"Selain itu, perlu juga sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diwujudkan di Parlimen ini, selain menambah baik infrastruktur pelancongan serta baik pulih semula kedai terbiar bagi membangunkan ekonomi penduduk setempat," katanya.
Sementara itu ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, sekiranya beliau diberi mandat oleh rakyat, maka perkara utama diberi perhatian adalah bagi menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau memberitahu, perkhidmatan terbaik kepada rakyat adalah perkara paling utama akan diperjuangkan di Parlimen Kuala Selangor.
"Sekiranya saya dipilih, sudah tentu keutamaan saya menolak rasuah dan memberi tumpuan dari segi pentadbiran yang telus dan cekap.
"Sekiranya soal rasuah tidak dapat dibanteras, maka negara tak boleh ditadbir dengan betul, walaupun maju sekalipun, namun ia hanya syok sendiri dan pelabur juga akan lari," ujarnya.
Bagaimanapun beliau memberitahu, beberapa perkara asas perlu diberi tumpuan di Parlimen Kuala Selangor antaranya perlu menambah balai polis dan bomba di beberapa kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk.
"Selain itu, perlu juga diwujudkan sebuah hospital kerajaan atau pun swasta selain sekolah antarabangsa untuk memberi lebih pilihan pendidikan kepada ibu bapa menghantar anak ke sekolah," katanya.