ALOR SETAR - Polis Kedah masih meneruskan siasatan berhubung kejadian letupan sebuah kabin kontena yang diletakkan dalam kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah pada 16 Oktober lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, polis juga masih lagi meneruskan siasatan lanjut secara terperinci bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mengesyaki kejadian itu mempunyai unsur khianat kerana menggunakan bahan letupan.
"Polis menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada 3.49 petang, 18 Oktober lalu.
"Siasatan polis di tempat kejadian mendapati terdapat kemusnahan teruk pada kabin kontena berkenaan," katanya dalam kenyataan akhbar pada Jumaat.
Wan Hassan berkata, kabin kontena itu dijadikan stor simpanan dan diletakkan di bahagian belakang pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar (Seri Mentaloon).
"Polis turut menemukan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai bahan letupan. Semua sampel yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk dianalisis,” katanya.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tempoh 20 tahun atau denda.
"Polis sedang jalankan siasatan lanjut, diminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian,” katanya.
Sebelum ini, pada 17 Oktober lalu, berlaku kejadian papan tanda di pagar hadapan Seri Mentaloon disimbah cat merah dan biru.