Masyarakat Cina Kelantan mahu ekonomi dimajukan

Iklan

KOTA BHARU - Masyarakat Cina Kelantan mahu kerajaan negeri lebih bersikap proaktif dalam memajukan ekonomi tempatan dengan menarik kemasukan lebih ramai pelabur asing.

Peniaga, Lee Teck Kuan,42, berkata, kedudukan negeri Kelantan yang strategik dengan pelbagai kelebihan boleh diterokai dan dimajukan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan perlu lebih terbuka dan agresif meneliti peluang-peluang kerjasama dengan pelabur luar. Ini kerana kemasukan pelabur asing akan merancakkan ekonomi negeri.

"Dengan cara ini pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan rakyat akan mendapat manfaat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Teck Kuan berkata, perkembangan ekonomi di Kelantan agak perlahan dan ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

"Keadaan ini menyebabkan ramai rakyat berhijrah mencari rezeki ke negeri lain. Bagi saya ia satu perkembangan yang kurang sihat dan mungkin merencatkan lagi perkembangan ekonomi negeri," katanya.

Iklan

Menurutnya, program-program penjanaan pendapatan yang disediakan kepada rakyat juga perlu sentiasa dikemaskini agar bersesuaian dengan keadaan semasa.

Tambah Teck Kuan, perlu ada 'post mortem' dan kajian mengenai impak program yang dijalankan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan mampu membantu rakyat menjana pendapatan.

Sementara itu penggiat seni, Tan Thee Khim, 50 berkata, kerajaan perlu segera menyelesaikan isu berkaitan keperluan asas bagi mengelakkan Kelantan terus dilabel sebagai kerajaan yang lemah.

"Jika aspek penting seperti isu bekalan air bersih, kemudahan jalan raya dan kebersihan tidak dapat ditangani bagaimana kita mahu meyakinkan pelabur ke negeri ini.

"Dari aspek kebersihan misalnya, kerajaan mungkin perlu lebih memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat selain memikirkan cara efektif lain termasuk mengetatkan undang-undang," katanya.

Sementara itu Thee Khim berkata, kebudayaan negeri Kelantan yang unik daripada pelbagai etnik antara aspek yang boleh diketengahkan sebagai faktor penarik pelaburan.

Katanya banyak negeri-negeri lain di Malaysia yang mampu menjana ekonomi melalui kebudayaan dan kesenian tempatan sehingga di kenali ke persada antarabangsa.