KUALA LUMPUR – Selepas 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, perbicaraan kes mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali Bella membabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali,selesai di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Antara saksi yang dipanggil ialah mangsa iaitu Bella, 13; saksi pendakwaan ke-5 (SP-5) bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood, 19, dan SP-8 rakan Pengasas Rumah Bonda, Suhana Zam, 40.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memberitahu bahawa, mereka menutup kes ini selepas SP-22, juruteknik sebuah syarikat penapis air, Mohamed Rezuan Satori, 25, selesai memberi keterangan.
Susulan itu, Izralizam memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 18 November sebelum keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat pada 24 November depan.
Pendakwaan telah menawarkan seramai 15 saksi kepada pihak pembelaan antaranya beberapa bekas penghuni Rumah Bonda dan rakan Siti Bainun.
Selain Nor Azizah, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Zilfinaz Abbas.
Sementara pembelaan diwakili barisan peguam antaranya Nur A'minahtul Mardiah Md Nor, Nurul Hafidzah Hassan dan Mohammad Farhan Maaruf.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.
Untuk rekod, perbicaraan kes ini yang bermula 30 Mac lalu.