ALOR GAJAH - Perasaan tidak sedap hati seorang bapa sejak dua minggu lalu akhirnya terjawab apabila anak perempuannya, Zubaidah Abdul Rajak, 28, maut dalam kemalangan di Kilometer 216, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) Simpang Ampat di sini, pada Jumaat.
Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu turut mengorbankan suami Zubaidah, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28, dan anak tunggal mereka Muhammad Rizqi Muhammad Nazrul Syafiq berusia setahun.
Abdul Rajak Sakiman, 66, berkata, dia dihubungi individu tidak dikenali yang memaklumkan tiga beranak itu terlibat dalam kemalangan.
Menurutnya, dia bergegas dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Hospital Alor Gajah, namun setiba di unit forensik hospital berkenaan, dia diberitahu ketiga-tiga mangsa telah meninggal dunia.
Katanya, mereka sekeluarga baru tiba di Port Dickson awal pagi tadi untuk bercuti, namun anak keenam daripada tujuh beradik itu tidak kunjung tiba.
"Tiba sahaja di hospital, sedih rasa bila diberitahu ketiga-tiga mereka telah meninggal dunia. Apa pun saya sekeluarga reda dengan ujian ini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah.
Abdul Rajak berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu bulan lalu ketika bercuti di Desaru, Johor.
Dia menyifatkan anak perempuan yang bekerja sebagai jururawat itu seorang yang penyayang dan sering menghubunginya untuk bertanya khabar.
"Dia selalu telefon, tanya khabar dan bertanyakan keadaan isteri saya yang perlu menjalani dialisis setiap minggu," katanya yang menetap di Bukit Pasir, Muar, Johor.
Tambahnya, dalam tempoh dua minggu sebelum pemergian anaknya itu, dia juga sering bermimpikan arwah yang memakai pakaian berwarna hitam dan putih.
"Salah seorang kakak arwah sempat bertemu dengan Zubaidah ketika di Plaza Tol Skudai dan melihat raut wajah arwah yang berbeza sebelum masing-masing meneruskan perjalanan," katanya.
Sinar Harian melaporkan hasrat tiga beranak termasuk bayi berusia setahun untuk bercuti ke Port Dickson, Negeri Sembilan tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 216, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) Simpang Ampat di sini, pada Jumaat.