SEREMBAN - Calon PH, Dr S Streram, yakin kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Rantau Jumaat ini, akan meningkatkan lagi gelombang sokongan kepada beliau.
Katanya, penampilan saat akhir pemimpin nombor satu negara itu dijangka memberi kesan besar kepada sokongan pengundi khususnya Melayu.
"Saya sudah tengok WhatsApp (kehadiran Dr Mahathir) tadi, tapi saya belum diberitahu lagi (hadir atau tidak).
"Tapi saya yakin beliau akan turun untuk membantu kempen terakhir sebelum hari mengundi Sabtu ini,"katanya pada sidang media di Kampung Sega, Kuala Sawah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan pengundi DUN Rantau apabila PH dilihat lebih banyak membawa isu-iau nasional berbanding tempatan, katanya ia sebenarnya seimbang.
"Memang benar pemimpin-pemimpin pusat yang datang membawa isu nasional pada program ceramah kerana ia bersesuaian dengan jawatan mereka.
"Tetapi pemimpin tempatan termasuk saya sendiri tetap fokus untuk membawa isu setempat agar kebimbangan dan hasrat rakyat di bawa ke tengah,"katanya.
Justeru katanya, tidak timbul isu nasional lebih banyak dibincangkan berbanding tempatan kerana sudah pasti masalah pengundi DUN Rantau menjadi keutamaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Streram harap Tun M turun kempen