Bayi istimewa menyusuli pemergian ibu

Iklan
Fatin Hazlin Dahlia bersama Sayyid Uwais Al-Qarni. - Foto Ihsan pembaca

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Bayi istimewa yang pernah mendapat liputan media akibat penyakit saraf yang dialami meninggal dunia selepas dia dan ibunya terlibat dalam nahas jalan raya pada petang Jumaat.

Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman yang berusia setahun bersama ibunya, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, maut setelah kereta dinaiki mereka bertembung treler tangki minyak dalam kejadian di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Bintang di Setiu.

Iklan
Iklan

Sayyid Uwais Al-Qarni atau lebih mesra digelar Adam sebelum ini menderita penyakit saraf dikenali sebagai myelomeningocele with encephalocoele dan kedudukan otak berada di luar tempurung.

Menurut ibu saudara Fatin Hazlin Dahlia, Hartini Mohd Nor, 39, dia difahamkan bayi tersebut meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu.

Iklan

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang wanita maut manakala bayinya dan seorang lagi penumpang cedera parah setelah Perodua Alza dipandu bertembung treler tangki minyak dalam kejadian di kilometer 83 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Bintang, di Setiu.

Nahas berlaku kira-kira jam 4.40 petang itu menyebabkan mangsa, Fatin Hazlin Dahlia yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan

Sayyid Uwais Al-Qarni dan seorang lagi penumpang iaitu Muhammad Arsyad Syahiran Mohd Agil, 9 mengalami kecederaan parah.

Tiga lagi penumpang iaitu suami kepada Fatin Hazlin Dahlia, Mohd Lekman Zakaria, 36, mengalami luka-luka sementara dua lagi anaknya iaitu Nur Qaireen Luffiya Mohd Lekman dan Sayyid Lutfi Mohd Lekman, 7, patah tangan kiri.

Difahamkan, Fatin Hazlin Dahlia turut hamil bayi kembar dan usia kandungannya lapan bulan.