JOHOR BAHRU - Isu undi silang perlu dielakkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini kerana ia merugikan parti.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, persiapan dan persediaan lebih agresif perlu dilakukan Barisan Nasional (BN) negeri bagi mengelakkan undi silang.
"Sudah tentu, kira tidak mahu undi silang terjadi di mana mereka kata kita (pengundi) sudah beri undi pada BN Johor pada PRN lalu dan masa PRU15 hendak undi calon parti lain pula sebagai alternatif di peringkat Pusat.
Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra dan taklimat media sempena PRU15 di sini pada malam Jumaat.
Adham yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, strategi kempen telah diatur BN Johor bagi menangkis tohmahan pembangkang terutama di media sosial selain menemui pengundi bagi memberi penjelasan isu semasa.
Katanya, kesemua 26 ketua penerangan bahagian BN negeri itu juga sudah dipersiapkan dengan strategi lebih baik.
"BN Johor akan melancarkan manifestonya bagi PRU15 pada 2 November ini yang diadakan di Stadium Educity, Iskandar Puteri yang akan dihadiri semua jentera.
"Selain itu, kita akan lancarkan manifesto BN Johor termasuk mengumumkan perkembangan terkini manifesto kita pada PRN Johor lalu iaitu Ikhtiar Johor sehingga berjaya menang 40 kerusi.
"Keesokannya pula, pada 3 November, BN Johor akan membuat pengumuman rasmi kesemua 26 calon yang akan dipertandingkan pada PRU15," katanya.