Ahmad Fadhli sambut baik kedatangan Husam di Pasir Mas

Iklan
Ahmad Fadhli (Laporan Sinar Harian.)

PASIR MAS - Penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyambut baik kedatangan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa untuk bertanding di kawasan itu menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh bertanding di kawasan tersebut dan beliau tidak mempunyai masalah.

Iklan
Iklan

"Semua ini terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka akan pilih nanti (PRU15)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Husam menjelaskan bahawa tindakan beliau menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua parti itu.

Iklan

Husam berkata, keputusan untuk mencalonkan beliau di Parlimen Pasir Mas itu juga telah pun dibincangkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang turut dibarisi pimpinan daripada PKR dan Amanah.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Fadhli yang memperoleh 28,080 berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Nor Azmawi Abdul Rahman (15,005 undi), Datuk Ibrahim Ali dari Bebas (5,373 undi) dan Che Ujang Che Daud dari PKR (5,093 undi).

Iklan

Berpandukan kepada itu Husam dijangka berdepan laluan sukar selepas Ahmad Fadhli mempamerkan gerak kerja cemerlang sejurus diberi mandat oleh rakyat selepas menang PRU14 lalu.

Selain Ahmad Fadhli, Pengerusi Save Kelantan itu bakal berdepan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor yang dijangka menjadi calon BN.