PASIR GUDANG - Seorang lelaki maut selepas dihempap sebuah jentolak ketika bekerja di sebuah tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat di Jalan Rumbia 4 di sini pada Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Shahrol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Mangsa merupakan pekerja luar yang datang untuk membaiki jentolak dan semasa membaikinya, jentolak tersebut terjatuh dan menghempap mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas dibantu sebuah jengkaut.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 11.27 pagi," katanya.