Peneroka rugi ladang dicerobohi gajah liar

Iklan
Adnan menunjukkan sebahagian pokok kelapa sawit yang musnah akibat serangan gajah liar.

KEMAMAN - Peneroka di Felda Neram Dua di sini, kerugian puluhan ribu ringgit selepas ladang kelapa sawit mereka dicerobohi sekumpulan gajah liar.

Ketua Peneroka Felda Neram Dua, Datuk Bahari Abdullah berkata, masalah berkenaan sudah berlanjutan sejak sebulan lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terbaharu ladang peneroka di sini diserang kira-kira lapan ekor gajah pada Rabu lalu untuk mencari makanan.

"Ada juga pokok yang sudah boleh dituai hasilnya turut dimusnahkan," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, peneroka, Adnan Mohamad, 63, berkata, mereka terpaksa bergadai nyawa mengadakan kawalan di kebun sawit masing-masing pada waktu malam meskipun sedar akan bahaya yang menanti.

"Serangan kali ini paling teruk sedangkan peneroka di sini hanya bergantung pendapatan dari sumber ladang kelapa sawit.

Iklan

"Bukan itu sahaja kerana ia turut mengancam nyawa penduduk sekitar apabila mula berkeliaran di kawasan kediaman.

"Kita berharap pihak berwajib dapat membantu dan menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Leo Keon Seong berkata, pihaknya akan membuat siasatan berhubung masalah berkenaan.

"Kita minta peneroka membuat laporan terlebih dahulu dan Perhilitan mengambil tindakan lanjut," katanya.