PN Perak jamin tak rebut kerusi

Iklan
Ahmad Faizal

IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak memberi jaminan tiada perebutan kerusi antara parti komponen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini sepertimana berlaku dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengalaman menghadapi PRU14 banyak membantu agihan kerusi antara tiga gabungan parti itu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahupun Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), masing-masing menerima keputusan dibuat pimpinan parti tanpa berlakunya pertikaian.

"Di peringkat pusat ada berlaku sedikit pertindihan, tetapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik.

Iklan

"Bagi Perak pula, alhamdulillah semuanya berjalan lancar, tidak ada pertindihan sepertimana berlaku di (DUN) Changkat Jong yang kita tahu 'mereka' bergaduh.

"Amanah (Parti Amanah Negara) nak bertanding, DAP pun nak bertanding. Memang dalam PH masing-masing anggap terlalu hebat, itu yang menyebabkan berlaku pertindihan sehingga tidak dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui dalam Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru di sini pada Sabtu.

Iklan

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, pengagihan kerusi di peringkat DUN adalah hampir setara antara ketiga-tiga parti manakala di Parlimen, Bersatu akan bertanding lebih kerusi berbanding Pas dan Gerakan.

"Ada juga yang berharap nak jadi calon, berasa kecil hati, tetapi apabila kita dekati, sembang, mereka istiqamah dan berhasrat untuk terus membantu parti kerana dalam hal ini, menggagalkan BN dan PH adalah jauh lebih penting," katanya.

Ahmad Faizal menjalani pemeriksaan kesihatan sempena Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru di sini pada Sabtu.

Dari segi calon pula beliau berkata, hampir keseluruhan yang ditampilkan adalah anak tempatan dalam kalangan mereka berpengalaman, profesional, wanita dan calon baharu anak muda.

"Kita nak persembahkan satu senarai yang boleh kita sandarkan tanggungjawab untuk mereka menubuhkan kerajaan di Perak dan berkhidmat di peringkat pusat.

"Sebab itu kebanyakan calon adalah tempatan. Kalau di bahagian Kuala Kangsar ke bawah ini, kita tetap pastikan calon-calon yang minum 'ayor' dan untuk Taiping ke atas, kita bagi yang minum ayaq (utara Perak)," katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu turut memaklumkan, senarai penuh calon PN Perak akan diumum minggu hadapan beserta manifesto PRU.

"Pengumuman calon dan manifesto untuk PRU15 akan kita umumkan sekali minggu hadapan, saya sedang mencari hari yang sesuai," katanya.

Pada Jumaat, kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian selepas Amanah menamakan calon bagi bertanding di kawasan berkenaan menerusi Naib Pengerusi Amanah negeri, Dr Muhaimin Sulam.

DAP juga mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi tersebut.