KAMPAR - Penyandang kerusi Parlimen Kampar, Thomas Su Cheong Kiong akan terus setia bersama DAP biarpun digugurkan sebagai calon bagi kawasan Parlimen itu pada PRU15.
Menurutnya, biarpun perkara itu sesuatu yang tidak disangka, namun beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
Beliau mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat menyambung perkhidmatan kepada rakyat di kawasan itu setelah parti memilih calon lain.
"Saya tak akan tinggalkan parti semata-mata kerana tidak lagi menjadi calon. Saya orang yang setia kepada parti.
Thomas Su berkata, terdapat beberapa perancangan yang tidak sempat untuk dilaksanakan termasuklah memastikan Hospital Kampar yang baharu dibina di sini.
Menurutnya, selain itu dari segi pendidikan, banyak perancangan yang diatur untuk sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Kampar terutama sekolah kurang murid.
"Saya sebenarnya hendak bantu sekolah-sekolah kurang murid ini dengan menyediakan kemudahan diperlukan untuk menarik lebih ramai ibu bapa hantar anak mereka ke sekolah ini.
"Begitu juga perancangan untuk membangunkan ekopelancongan di kawasan yang sangat berpotensi bagi menaikkan ekonomi penduduk setempat," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat.
Thomas Su berkata, hubungan dengan penduduk setempat juga amat baik terjalin sejak empat tahun yang lalu termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Malah katanya, sebuah pusat tuisyen untuk anak-anak Orang Asli turut diwujudkan di Kampung Ayer Denak bagi meningkatkan keupayaan pembelajaran murid di kawasan itu.
Sementara itu, beliau mengharapkan PH meletakkan calon yang benar-benar mampu mengalas tanggungjawab dan menyantuni penduduk di kawasan Parlimen Kampar bagi memastikan parti itu kekal memenangi kerusi berkenaan.
Pada malam Jumaat, DAP mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji, Chong Zhemin sebagai calon Parlimen Kampar menggantikan Thomas Su pada PRU15.
Thomas Su menjadi satu-satunya penyandang Parlimen DAP di Perak yang digugurkan sebagai calon pada PRU15.
Ketika PRU14 lalu, Thomas Su menang di kerusi Parlimen Kampar dengan majoriti 11,801 undi menewaskan calon BN, Datuk Lee Chee Leong dan calon Pas, M Yougan.