Harap pembinaan LCS disambung semula awal tahun depan

Iklan
Projek LCS masih dalam fasa mobilisasi yang dijangka selesai hujung Disember ini. - Foto Bernama

PENGERANG - Proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) diharapkan dapat dimulakan semula awal tahun hadapan, selepas selesai proses mobilisasi akhir tahun ini, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Menurutnya, projek LCS masih dalam fasa mobilisasi yang dijangka selesai hujung Disember ini.

Iklan
Iklan

"Setahu saya, rundingan dengan pengilang peralatan asal (OEM) dan vendor-vendor berjalan dengan baik.

"Kita jangkakan pembinaan akan dimulakan semula pada awal tahun hadapan,” kata beliau kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih di sini, pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, fasa mobilisasi yang bermula Jun, melibatkan pihak Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd yang melaksanakan rundingan bersama pihak OEM, bagi menggerakkan kerja-kerja pembinaan apabila berakhirnya fasa mobilisasi.

Mohd Reza berkata, syarikat itu, telah selesai melaksanakan proses rundingan tersebut dan dalam proses membentangkan hasil rundingan kepada jawatankuasa pemantauan projek, yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

Iklan

Mengenai kepentingan projek LCS ini, beliau berkata, TLDM amat memerlukan aset kombatan bagi menyokong strategi pertahanan maritim negara, justeru dengan meneruskan projek berkenaan akan sekali gus meningkatkan dan membangunkan keupayaaan pertahanan maritim negara.

"Seperti yang umumnya sedia maklum, aset kombatan sedia ada telah berusia serta kos pengoperasian dan selenggaraan semakin meningkat, yang akan menjejaskan tahap kesiagaan TLDM dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.

"TLDM tetap konsisten di dalam keperluan untuk kapal LCS ini dioperasikan secepat mungkin, seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditanya mengenai status terkini projek LCS.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata kapal LCS pertama dijangka siap sekurang-kurangnya dalam dalam tempoh dua tahun.

Mengulas mengenai cadangan menaik taraf kapal peronda generasi baharu (NGPV), Mohd Reza menjelaskan sebahagian sistem dalam enam kapal yang dibina pada 10 tahun lalu itu, sudahpun usang dengan alat gantinya tidak dapat diperoleh di pasaran.

Beliau berkata, bukan sahaja NGPV, malah kebanyakan aset TLDM sememangnya perlu dinaik taraf ataupun membuat perolehan baharu, kerana usianya ada yang menjangkau lebih 40 hingga 50 tahun.

"Mereka (anggota) harus cekap dan mahir dalam pelaksanaan tugas atau dengan kata lain kompeten mengoperasikan peralatan di kapal, namun, kecekapan mereka terhad dengan teknologi yang dimiliki kapal TLDM yang rata-ratanya menjangkau usia 40 tahun (dan ke atas).

"Oleh itu, perolehan kapal TLDM yang baharu amat kritikal, bagi melahirkan navy people yang competent. (Jadi) apa-apa perancangan sekali pun, hendaklah berlandaskan kepada peruntukan,” katanya.

Terdahulu, seramai 569 Perajurit Muda ditauliahkan sijil tamat latihan, selepas menjalani latihan di KD Sultan Ismail sejak 20 Mei sehingga 29 Oktober lepas. - Bernama