Zii Jia 'lepaskan' Terbuka Hylo

Iklan
Zii Jia terpaksa melupakan kejohanan badminton Terbuka Hylo di Jerman kerana masalah peribadi. -Foto: EPA

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan badminton Terbuka Hylo di Jerman yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 6 November ini.

Pengurus yang juga kakaknya, Lee Zii Yii memaklumkan bahawa penarikan diri itu berikutan masalah peribadi dialami pemain di ranking kedua dunia itu.

Iklan
Iklan

Keputusan itu difahamkan ada kaitan dengan pemergian datuknya yang dilaporkan meninggal dunia pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Zii Yii memberitahu penglibatan adiknya dalam saingan Terbuka Australia pada 15 hingga 20 November depan masih belum dimuktamadkan.

Iklan

"Saya masih dalam proses membuat permohonan visa tetapi ia agak rumit. Selain itu, kami juga perlu melihat keadaan serta tahap kecergasannya,” jelasnya.

Pemain dari Alor Setar, Kedah itu mendaki satu anak tangga untuk menghuni kedudukan nombor dua dunia setelah muncul naib juara Terbuka Denmark.

Iklan

Bagaimanapun langkah Zii Jia tersekat pada pusingan pertama Terbuka Perancis setelah tumpas di tangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 19-21, 18-21.