Pelaku tidak senonoh dalam surau dakwa hanya bergurau

Iklan
Pelaku yang dikatakan melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam surau di Banting, Kuala Langat, baru-baru ini dikenal pasti sebagai pasangan adik-beradik.

KUALA LANGAT - Pelaku yang tular berkelakuan tidak senonoh di sebuah surau di sini, baru-baru ini dikenal pasti sebagai pasangan adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, dua beradik lelaki berusia 14 dan 21 tahun yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu dikesan pihaknya pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan keterangan diambil, mereka datang ke Banting pada jam 3.30 petang, Selasa lalu dari Shah Alam bersama ibu bapanya dan seorang beradik perempuan berusia 19 tahun untuk bercuti dan makan di restoran di Pekan Banting.

"Kira-kira jam 4.30 petang, keluarga itu singgah di sebuah surau di pekan Banting untuk menunaikan solat.

Iklan

"Selesai solat kedua adik-beradik (pelaku) tersebut bergurau di dalam surau tersebut tanpa disedari perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau itu," ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan ibu bapa, adik-beradik itu mempunyai hubungan yang rapat dan selalu bergurau.

Iklan

Katanya, menurut salah seorang daripada adik-beradik itu, dia hanya membetulkan seluarnya dan bergurau serta tiada sebarang niat untuk berkelakuan tidak senonoh di dalam surau terbabit.

"Keterangan kedua-dua pelaku dan ibu bapa mereka telah diambil dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut," jelasnya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan polis menerima satu laporan yang yang dibuat oleh bilal surau berusia 54 tahun selepas melihat rakaman CCTV memaparkan dua orang lelaki tempatan telah melakukan aksi tidak senonoh.

Sebelum itu, tular di media sosial satu rakaman CCTV berdurasi satu minit 49 saat tindakan melampau dua lelaki dikatakan berkelakuan sumbang di dalam sebuah surau.