Kerajaan stabil elak pergolakan dalam pentadbiran: PM

Iklan
Reaksi Ismail Sabri (empat dari kiri) ketika hadir pada Majlis Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Sabtu. - Foto Bernama

KUANTAN - Kerajaan yang stabil dan kuat dapat mengelakkan pergolakan dalam pentadbiran yang boleh mengganggu tumpuan terhadap isu penting seperti memulihkan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,

Beliau berkata, pergolakan yang berlaku jika kerajaan tidak memperoleh banyak kerusi pada pilihan raya menyebabkan Perdana Menteri atau menteri besar perlu memberi tumpuan kepada isu politik sebelum dapat melakukan perkara untuk kepentingan rakyat.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, kerajaan negeri Pahang yang ditadbir oleh BN di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat stabil dan berupaya membawa pelbagai kejayaan termasuk hasil melebihi RM1 bilion.

"Pada awal pentadbiran saya, kita dapat mengawal politik supaya lebih stabil tetapi akhir-akhir ini, sebelum saya membubarkan Parlimen, kerajaan agak tidak stabil dan pelbagai serangan berlaku bukan hanya dari luar tetapi presiden parti yang bergabung dengan kerajaan juga menyerang saya," katanya.

Iklan

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap di Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Wan Rosdy dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, Ismail Sabri berkata, adalah penting untuk BN memperoleh kerusi yang banyak pada 19 November ini supaya tidak selamanya perlu menjadi 'melukut di tepi gantang' dan mengharap sokongan pihak lain seperti yang berlaku sebelum ini kerana hanya memiliki 42 kerusi di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum 2018.

Iklan

"Tugas kita sekarang adalah untuk membentuk kerajaan baharu yang boleh menjaga kepentingan rakyat.

"Bila kita kalah dahulu, memang sedih tetapi ia memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk membuat penilaian kerajaan mana yang lebih bagus.

"Dulu masa BN memerintah, macam-macam dilakukan untuk kebaikan dan ekonomi stabil tapi akhirnya semasa Pakatan Harapan memerintah 22 bulan, rakyat boleh nampak segala kemungkaran dan kemusnahan yang dilakukan oleh mereka," katanya.

Selepas Parlimen dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan penamaan calon pada 5 November manakala 15 November ditetapkan sebagai tarikh mengundi awal. - Bernama