Mohamed Khaled bertanding di Parlimen Kota Tinggi?

Iklan
Mohamed Khaled di majlis perasmian pembukaan UMNO cawangan D'Rimba, Seri Alam pada Sabtu.

PASIR GUDANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak mengiyakan atau menafikan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, tiada masalah untuk beliau bertanding di mana-mana kawasan asalkan dapat mewakili UMNO.

Iklan
Iklan

"Saya bukan pertama kali nak bertanding... Saya mewakili BN dan UMNO, bukannya diri saya, jadi ke mana-mana samalah," katanya mengulas mengenai namanya termasuk dalam senarai calon BN Johor di 26 Parlimen pada PRU15 yang tular sejak malam Rabu.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian pembukaan UMNO cawangan D'Rimba, Seri Alam di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada PRU14, Mohamed Khaled tewas kepada Hassan Abdul Karim daripada PKR yang menang dengan majoriti 24,726 undi selain dua calon lain iaitu Ab Aziz Abdullah (Pas) dan Chee Jock (Bebas).

Mohamed Khaled berkata, persoalan itu nanti akan terungkai apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan senarai penuh calon berkenaan.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang berkata, gabungan tersebut ketika ini sedang menyiapkan dan berada di peringkat akhir senarai calon.

Sementara itu, beliau berkata, cawangan D'Rimba merupakan cawangan ke-111 parti tersebut dan kewujudannya dianggotai oleh sebahagian daripada bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memilih untuk bersama BN.

"Ini petanda yang baik dalam kita menghadapi PRU15. Penubuhan cawangan ini tidak ada kaitan sebab PRU15 semakin hampir kerana ia dirangka sudah lama. Saya percaya kewujudan itu dapat membantu kekuatan UMNO dan BN berhadapan PRU15 tak lama lagi.

"Saya percaya mereka dapat membuat perbandingan dan melihat kewujudan UMNO lebih kepada berbakti dan memajukan masyarakat. Dan ini mereka boleh buat perbandingan dengan parti mereka pernah berurusan," katanya.