Suspek utama kes tipu pakej perkahwinan ditahan

Iklan
Gambar hiasan

BENTONG - Seorang lelaki yang sebelum ini dikesan bagi membantu siasatan dalam kes penipuan pakej perkahwinan di daerah ini ditahan di Hentian Plaza Tol Bentong arah Barat di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan selepas anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima maklumat kira-kira jam 9.30 malam.

Iklan
Iklan

"Tangkapan suspek utama dalam kes ini melibatkan tiga kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Reman terhadap suspek telah diperoleh selama empat hari bermula 29 Oktober hingga 1 November ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Zaiham juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat atas kerjasama menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditahan.

"Ini jelas membuktikan masyarakat sentiasa membantu polis dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah khususnya di bawah pentadbiran Bentong," jelas beliau.

Iklan

Sebelum ini, pihak polis telah menerima dua aduan daripada dua mangsa pada Isnin berkaitan penipuan pakej perkahwinan yang ditawarkan sebuah syarikat 'The Wedding By Fiey' membabitkan kerugian sebanyak RM20,900.

Kedua-dua mangsa masing-masing iaitu ibu pengantin berusia 57 tahun dan pengantin berusia 28 tahun memaklumkan syarikat itu memperdayakan orang ramai dengan cara membuat pengiklanan pakej perkahwinan di laman Facebook menggunakan nama syarikat terbabit.