SHAH ALAM - Kumpulan peniaga pakaian terpakai atau 'bundle' terpaksa menanggung kerugian mencecah RM300,000 gara-gara mendakwa ditipu pihak pengurusan acara jualan bundle selepas tapak perniagaan mereka diarah tutup kerana tidak mendapat kelulusan daripada penguat kuasa.
Mengikut dakwaan yang dikongsikan di TikTok, acara jualan 'bundle' berkenaan dijadualkan berlangsung selama dua hari iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bertempat di pusat beli belah di Seri Kembangan.
Bagaimanapun, peniaga mendakwa berlaku penipuan terhadap mereka apabila pihak pengurusan gagal mendapatkan lesen permit sedangkan pihak pengurusan itu telah mengutip wang pendaftaran seminggu lebih awal.
Ekoran itu, menerusi rakaman video yang tular, wakil peniaga itu meminta wakil wanita daripada pengurusan terbabit yang berbaju putih dan suaminya membayar ganti rugi RM300,000 kepada mereka dan memberi tempoh tiga bulan untuk ganti rugi itu diselesaikan.
Wakil peniaga itu berkata, jika pihak pengurusan gagal membuat bayaran seperti diminta, mereka akan memfailkan saman.
Dalam rakaman video lain pula, salah peniaga dilihat hilang sabar apabila bertindak menengking dan memarahi wanita terbabit dan suaminya.
Peniaga itu juga meminta wanita itu dan suaminya mencagarkan sesuatu sebagai jaminan kepada mereka lebih-lebih lagi ada antara mereka datang dari jauh termasuk Johor dan Terengganu.
Kesemua peniaga berkenaan difahamkan membayar sewa tapak sebanyak RM900 untuk tiga hari selain menanggung kos hingga RM36,000 seorang kerana membeli stok baju secara pukal namun pakaian itu tidak dapat dijual.
Difahamkan, kesemua kumpulan peniaga itu sempat membuka tapak jualan masing-masing sebelum didatangi oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) secara tiba-tiba dan mengarahkan tapak itu ditutup.
Laporan polis dikatakan masih belum dibuat oleh kesemua mangsa penipuan dan mereka masih berunding serta menyelesaikan isu tersebut secara baik.