SHAH ALAM - Kurang seminggu lagi dari tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 November depan, negara terus hangat dengan episod pengenalan awal calon-calon mewakili parti yang bertanding.
Selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut mengambil langkah sama semalam walaupun hanya mengumumkan calon bagi tiga Parlimen daripada lebih banyak kerusi yang dikatakan akan ditandingi.
Calon yang diumumkan adalah Danial Abdul Majeed yang bertanding di Kepala Batas, Cikgu Rahayu di Tanjung Karang, manakala Lim Wei Jiet pula bertanding di Tanjung Piai.
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda berkata, masih terdapat beberapa kerusi lagi akan diumumkan dalam masa terdekat termasuk satu kerusi di Sabah pada 31 Oktober ini.
"Muda tidak bertanding di kerusi-kerusi bandar dan kerusi yang akan ditandingi bukanlah kerusi yang mudah.
"Kita akan pastikan tidak ada pertembungan langsung kerusi dengan PH," katanya ketika mengumumkan calon-calon berkenaan di Pejabat Parti Muda Kebangsaan, Petaling Jaya, Selangor semalam.
Bagaimanapun, status kerusi bagi Parlimen Muar yang sepatutnya terus dipertahankan oleh Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seperti mana yang diumumkan sebelum ini, dilihat masih samar.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat yang memerintahkan Syed Saddiq yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.
Syed Saddiq berkata, keputusan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar atau sebaliknya akan diumumkan pada Rabu ini.
Ramai yang berteka teki kemungkinan besar bekas Menteri Belia dan Sukan ini akan melepaskan peluang bertanding bagi menghormati proses undang-undang yang dihadapi.
Keadaan itu ibarat beliau terpaksa 'menelan' kembali apa yang sering disuarakan dengan lantang iaitu mahu mana-mana ahli politik yang didakwa di mahkamah direhatkan.
Namun, apa sahaja boleh berlaku dalam dunia politik yang sememangnya bersifat dinamik.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sombong apabila menolak untuk bekerjasama dengan gerakan itu.
"Ramai kata kalau mahu mencapai kejayaan orang Melayu perlu bersatu padu dengan parti Melayu lain dan GTA berusahalah untuk mewujudkan satu pasukan.
"Tapi mereka begitu sombong sekali menolak untuk bersatu dengan GTA. Mereka tolak kita, kita tak tolak mereka dengan keyakinan mereka boleh berdiri sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengesahkan bakal mengatur pertemuan dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dinamakan GTA Negeri Sembilan sebagai calon Parlimen Rembau untuk membincangkan perkara itu.
Sementara itu, pada Sabtu turut dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengemukakan dua syor untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan individu positif Covid-19 mengundi pada PRU15.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan prosedur operasi standard (SOP) bagi individu positif Covid-19 mengundi akan dimuktamadkan pada Isnin.
"Syor pertama adalah menyediakan satu laluan dan bilik mengundi khas untuk individu positif Covid-19.
"Satu lagi opsyen adalah pesakit Covid-19 datang ke khemah KKM, kita pastikan mereka ada pelindung dan sebagainya, barulah kita bawa pesakit tersebut ke tempat mengundi. Tak perlu beratur dan sebagainya,” katanya.