KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu berkenan berangkat ke Majlis Santapan sempena Sambutan 125 tahun Sekolah Clifford Kuala Kangsar, di sini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Presiden Persatuan Penuntut Lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar (OCA), Datuk Salehuddin Saidin.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada guru sekolah itu, bekas guru serta wakil alumni bekas pelajar seawal tahun 1960 hingga tahun 2013.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan gimik pelacaran Hari Clifford.
Baginda turut menyampikan anugerah kepada tujuh individu yang dipilih sebagai Tokoh Cliffordian dan sijil penghargaan kepada mantan ahli jawatankuasa OCA serta pemenang pencipta logo ulang tahun 125 SMK Clifford.
Majlis santapan telah diserikan dengan beberapa dendangan lagu dan kemuncak acara adalah persembahan irama gitar oleh Raja Iskandar Dzulkarnain.
Sultan Nazrin berkenan meluangkan masa hampir dua jam di majlis itu sebelum berangkat meninggalkan majlis kira-kira 10.30 malam.
Sepanjang 125 tahun, SMK Clifford yang merupakan sekolah tertua di Kuala Kangsar telah melahirkan ramai tokoh cendiakawan, pemimpin negara dan ahli sukan bertaraf Olimpik.
Salehuddin dalam ucapannya berkata, OCA amat menitikberatkan tahap pendidikan dan kecemerlangan pelajarnya.
Menurutnya, bagi mencapai tahap prestasi pendidikan yang cemerlang, pihak sekolah memerlukan dana yang mencukupi bagi melengkapkan fasiliti dan segala keperluan pembelajaran terkini.
"Sebagai sebuah sekolah tertua, kemajuan dan pembangunan di sekolah ini perlulah selari dengan usia dan status sekolah premier.
"OCA telah memulakan langkah dengan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti bantuan yang boleh disalurkan kepada sekolah.
"Kita juga sedang berusaha mengaktifkan semula koperasi alumni yang dahulunya adalah koperasi untuk pelajar lepasan tahun 1978 dan kini dibuka kepada semua alumni, dengan harapan menjadi satu sumber pendapatan untuk membantu pihak sekolah," katanya.
Beliau berkata, sepanjang tahun ini, OCA sudah mengadakan lebih 30 program dan aktiviti membabitkan sekolah dan bekas pelajar merangkumi akademik, sukan, bantuan kemasyarakatan, menyantuni alumni uzur, program silaturahim, serta keagamaan.
Katanya, bagi menambah keahlian, OCA bersetuju untuk mengusulkan dalam Mesyuarat Agungnya yang akan datang untuk meminda Undang-undang Tubuh OCA.
"Langkah ini membolehkan setiap pelajar lepasan sekolah itu akan secara automatik menjadi alumni Clifford tanpa perlu mendaftar dan membayar yuran keahlian.
"Hasrat kami adalah untuk meramaikan jumlah keahlian agar kita semua dapat berganding bahu dalam menjayakan apa jua program dan aktiviti anjuran OCA," katanya.