KOTA BHARU - Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mahu barisan pemain berjuang habis-habisan pada aksi timbal balik kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia menentang Sarawak United di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Isnin.
Rezal Zambery berkata, kesempatan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan misi The Red Warriors (TRW) melangkah ke pentas suku akhir.
"Bekalan satu jaringan yang dibawa pulang dari Kuching (Sarawak) tempoh hari amat bermakna buat kami dan dari segi moral para pemain kini berada di tahap yang baik dan positif.
"Sudah tentu kami inginkan kemenangan, tambah pula bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri pastinya memberikan semangat kepada pemain untuk memperagakan aksi cemerlang nanti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, tempoh tiga hari selepas aksi pertama itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membaiki segala kesilapan dan kelemahan perlawanan lepas.
Katanya, TRW sudah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan lawan berpandukan kepada aksi sebelum ini.
Rezal Zambery berkata, dia akan tampil dengan percaturan yang lebih sesuai untuk Kelantan FC dengan menurunkan pemain yang cergas sepenuhnya.
"Mereka telah menunjukkan persembahan terbaik dan keputusan yang memberangsangkan. Saya harap pemain konsisten dan mengurangkan kesilapan mudah sepanjang perlawanan tersebut," ujarnya.
Pada aksi di Stadium Kuching 26 Oktober lalu Kenta Hara muncul wira Kelantan FC apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82.
Keputusan itu menyaksikan Kelantan FC membawa bekalan selesa pulang ke Kota Bharu.