Pimpinan anak muda GTA desak anak jati Temerloh jadi calon

Iklan
Sidang akhbar yang dihadiri Mohd Rofaie (dua dari kiri), Mohamad Faiz (dua, dari kanan), Mohd Firdaus(kanan) dan Abu Bakar(kiri) di Temerloh pada Sabtu.

TEMERLOH - Kepimpinan muda Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang mendesak supaya Penyelaras GTA Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Desakan itu selepas timbul desas-desus nama Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahaya disebut-sebut sebagai calon untuk bertanding bagi kerusi Parlimen tersebut pada PRU15 kelak.

Iklan
Iklan

Ketua Pemuda Pejuang Muda Negeri Pahang, Mohamad Faiz Dzulkifli, 30 menegaskan beliau tidak akan teragak-agak meletakkan jawatan jika desakan tersebut tidak mendapat perhatian pucuk pimpinan parti.

"Saya ada mendengar pucuk pimpinan mahu meletakkan calon lain selain daripada Mohd Rofaie. Jika ini berlaku, saya tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan saya dalam parti, dan tidak akan memberi sokongan sepanjang kempen kepada calon yang bertanding.

Iklan

"Ini kerana kami sudah bosan dengan calon-calon dari luar kerana mereka tiada semasa kami (orang Temerloh) susah. Tiada ketika Temerloh dilanda banjir sebanyak dua kali mahupun semasa kami memulihkan ekonomi Temerloh pada fasa Covid-19," katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar sempena Majlis Solidariti Anak Muda untuk P088 Temerloh, di sini pada Sabtu.

Iklan

Tambah beliau, sekiranya pucuk pimpinan gagal untuk mendengar suara akar umbi dalam parti, tidak mustahil mereka juga gagal untuk mendengar suara rakyat.

"Sekiranya Mohd Rofaie tidak dicalonkan, kami akan menarik diri dan tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti berkaitan GTA di Parlimen Temerloh," tegas Faiz lagi.

Nada sama turut disuarakan oleh Ketua Pemuda GTA Pahang, Mohd Firdaus Hassan Shah, 21 juga lantang menolak calon lain dan nekad mengundurkan diri andai hasrat mereka tidak dipenuhi.

Ujar Firdaus, jika Mohd Rofaie dicalonkan, mereka akan memberi sokongan penuh dan akan memastikan kemenangan di kerusi Parlimen Temerloh.

"Saya lihat, kalau kita calonkan orang luar, mereka tidak akan turun padang ke peringkat akar umbi, tidak bantu anak-anak muda di sini. Jadi, kami mahukan anak jati Temerloh sebagai pemimpin kami di sini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pejuang GTA Parlimen Temerloh, Abu Bakar Mohd Husain memberitahu, semua anak muda di bawah Parlimen Temerloh menyatakan sokongan kepada Mohd Rofaie malah mereka juga bakal menjadi penggerak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Temerloh kelak.

"Kami memohon agar calon bagi Parlimen Temerloh adalah Mohd Rofaie kerana beliau telah bersama kami merasai jerit perih dengan kami selama dua tahun untuk melaksanakan segala amanah serta tugas yang berkaitan dengan masyarakat di sini.

"Bagi saya, calon yang kita kemukakan ini adalah yang terbaik yang mampu membawa hasrat kemenangan untuk Pejuang dalam arus politik hari ini," ujarnya.

Bagi Mohd Rofaie pula, beliau menghargai dan terharu atas sokongan anak-anak muda terhadapnya.

"Sememangnya kita faham PRU15 ini sangat getir dan mengharapkan sokongan anak muda sebagai benteng hadapan untuk berdepan kemungkinan empat penjuru nanti.

"Biarpun tidak ada keputusan muktamad siapa yang menjadi calon dan diserahkan pada pucuk pimpinan untuk yang terbaik, kita harap dapat sokongan padu semua pihak nanti," tambah beliau.