Tolak pencalonan Chong Zhemin, mahu Thomas Su kekal di Kampar

Iklan
Mohd Lot (duduk, tengah) bersama sebahagian bekas pengerusi MPKK Parlimen Kampar ketika sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Ahad.

KAMPAR - Seramai kira-kira 20 bekas pengerusi Majlis Pengurusan dan Keselamatan Kampung (MPKK) di kawasan Parlimen Kampar mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengekalkan penyandang kerusi berkenaan, Thomas Su Keong Siong.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Mohd Lot Abdul Hamid berkata, Thomas Su lebih menyerlah dan sangat disenangi masyarakat tempatan termasuk Orang Asli kerana perkhidmatan cemerlang di kawasan Kampar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permintaan itu merupakan hasrat akar umbi dan berasaskan keadaan semasa yang memperlihatkan Thomas Su diterima semua kaum di kawasan Parlimen ini.

"Kami di sini mewakili mantan MPKK ketika zaman kerajaan PH di kerusi Parlimen Kampar dengan ini membantah serta menolak pencalonan saudara Chong Zhemin sebagai calon PH di kerusi Parlimen Kampar.

Iklan

"Jika PH meneruskan hasrat mencalonkan saudara Chong Zhemin bertanding di kerusi Parlimen Kampar, kami bimbang bukan setakat beliau akan kalah, malah turut menjejaskan peluang calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar, DUN Keranji dan DUN Tualang Sekah," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Menurutnya, penolakkan Zhemin bukan disebabkan isu peribadi tetapi calon berkenaan tidak popular dan kurang disenangi masyarakat setempat.

Iklan

Bagi bekas Pengerusi MPKK, Kampung Baru Jeram, Ng Wan Thim, masyarakat Cina di kampung berkenaan sangat senang dengan perkhidmatan Thomas Su.

"Kami sangat berharap agar Thomas Su dicalonkan semula kerana dia seorang yang sangat prihatin dan merendah diri.

Perkara itu turut diakui Pengerusi MPKK Kampung Kinta Valley, D Rajendran menyifatkan Thomas Su seorang yang senang didekati masyarakat.

Menurutnya, jika pemimpin DAP itu tidak dipilih menjadi calon di kerusi Parlimen Kampar, pengundi sukar untuk membuat pilihan pada PRU15 nanti.

Pada malam Jumaat, DAP mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji, Chong Zhemin sebagai calon Parlimen Kampar menggantikan Thomas Su pada PRU15.

Ketika PRU14 lalu, Thomas Su menang di kerusi Parlimen Kampar dengan majoriti 11,801 undi menewaskan calon BN, Datuk Lee Chee Leong dan calon Pas, M Yougan.