PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Angkatan Muda Harapan membentangkan lima tawaran utama sebagai fokus manfaat untuk generasi anak muda di negara ini.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Kelvin Yii Lee Wuen berkata, tawaran tersebut antaranya adalah memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), kembara siswa, penyediaan rumah, akta perubahan iklim dan pertumbuhan keusahawanan.
"Saya sangat berbangga kerana kita dapat bentangkan tawaran ini yang merangkumi beberapa isu yang kita dengar sendiri daripada anak muda.
"Ia berkait dengan isu-isu pendidikan berkualiti, autonomi mahasiswa, sosioekonomi anak muda, kesihatan, reformasi institusi dan alam sekitar.
"Ini semua isu-isu yang sangat dekat dengan hati anak muda dan ia merupakan fokus kami di PH serta Angkatan Muda Harapan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Tawaran Anak Muda Harapan di sebuah restoran pada Ahad.
Turut hadir adalah tiga Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan iaitu Mohd Hasbie Muda, Adam Adli Abd Halim dan, Nurthaqaffah Nordin serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.
Ulas Kelvin, tawaran tersebut merupakan sebahagian daripada intipati manifesto PH.
Menurutnya, banyak input dan konsultasi dilakukan dengan beberapa pihak dalam usaha memberi tumpuan solusi kepada permasalahan yang dihadapi oleh golongan muda.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tawaran berkenaan dan manifesto PH merupakan 'kitab suci' bagi gabungan tersebut.
"Beberapa pemimpin yang terdahulu ada mengatakan bahawa manifesto kita bukan kitab suci, tetapi kami berdiri di sini untuk meyakinkan rakyat bahawa kami akan mengambil semua tawaran ini dan manifesto PH sebagai 'kitab suci' kerana inilah janji kami di PH.
"Pemimpin yang terdahulu sudah lalu, tetapi PH di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi) akan mengambil berat setiap manifesto, janji dan tawaran-tawaran kepada rakyat serta anak-anak muda di luar sana.
"Ia kerana kita nak bawa nafas baharu dalam politik, bukan hanya retorik atau ucapan kosong tetapi kami akan berusaha jika diberi mandat dan tanggungjawab oleh rakyat," ujarnya.