Pengerusi Amanah Kedah dipecat serta-merta

Iklan
Gambar kecil: Phahrolrazi Mohd Zawawi

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini memecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, kerana didapati telah melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, Phahrolrazi mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemecatan dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b), Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti Amanah Negara yang bermesyuarat pada Ahad.

"Sehubungan itu, Datuk Dr Ismail Salleh Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Kedah, akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi Amanah Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata kedua-dua keputusan itu berkuatkuasa serta-merta.

Sementara itu, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dijangka akan mengadakan sidang media pada petang ini, di Pejabat Amanah Jerai di Guar Chempedak.

Sidang media itu berkaitan pemberian kerusi Parlimen Jerai kepada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Semalam, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff sebagai calon di kerusi itu, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di negeri ini.

Phahrolrazi tidak hadir di majlis berkenaan, yang diadakan di Sungai Petani yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.- Bernama.