GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama empat kru pada jam 1.10 petang, Jumaat lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan pada kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi oleh Kapal Maritim (KM) SIKUATI Maritim Malaysia Pulau Pinang.
"Bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara semasa rondaan rutin Op Tanjung.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, bot yang dikendalikan empat kru warga Indonesia termasuk tekong yang berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelas beliau, kesemua yang ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Abd Razak berkata, selain bot tersebut, pihaknya telah mengusir tiga bot nelayan Indonesia kerana berada di kawasan 'Unresolved Maritime Boundary' iaitu kira-kira 80 batu nautika dari barat Pulau Kendi kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Indonesia.
Menurutnya, ketiga-tiga bot itu diusir antara jam 7 hingga 8 pagi, 28 Oktober lalu.
"Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di sempadan perairan negara bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara sentiasa terjamin," katanya.
Dalam pada itu, Abd Razak berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot penumpang pada kedudukan 0.6 batu nautika timur laut pada jam 1.20 petang, Jumaat lalu kerana menjalankan perkhidmatan tanpa lesen yang sah.
Menurutnya, ketika ditahan, bot tersebut dalam perjalanan menghantar tiga pekerja yang bertugas di pelantar kabel di perairan Pulau Pinang.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati, nama nakhoda bot tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan.
"Oleh demikian, kita mengesyaki bot itu telah melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak pegawai pelabuhan," katanya.
Kata beliau, bot serta nakhoda berusia 63 tahun ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
"Tiga pekerja pelantar kabel dibawa ke tempat mereka bertugas dengan bot penumpang yang memiliki dokumen lengkap.
"Walaupun terdapat sesetengah pihak yang mengganggap isu kesalahan ini adalah kecil namun ia akan memberi impak besar sekiranya berlaku sebarang kejadian atau kemalangan di laut membabitkan penumpang yang dibawa terutama pada musim cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu ketika ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan kepada pengusaha-pengusaha bot penumpang agar mematuhi undang-undang yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.