Gabungan politik selain BN takut bayang-bayang sendiri: Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan sama ada gabungan-gabungan politik selain BN bersikap jujur untuk berkhidmat kepada rakyat atau semata-mata ketagih kuasa dan bimbangkan kemenangan BN.

Beliau berkata, ini kerana mereka masih tercari-cari ruang sesama mereka untuk 'berkomplot' semula walaupun pernah saling memburuk-burukkan selepas berpecah belah.

Iklan
Iklan

"Ketahuilah gabungan politik selain BN sedang `takutkan bayang-bayang sendiri' kerana kezaliman pernah mereka lakukan terhadap pemimpin BN, maka sedang terdesak apa sahaja.

"Justeru, jujurkah gabungan-gabungan politik ini memasuki arena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk berkhidmat kepada rakyat atau semata-mata ketagih kuasa dan bimbangkan kemenangan BN.

Iklan

"Sedangkan fokus BN sejak dulu, kini dan selamanya dalam mendepani PRU adalah peluang mentadbir semula negara sebaik mungkin demi Malaysia dan rakyatnya," katanya di Facebook pada Ahad.

Ahmad Zahid memberitahu, BN adalah satu-satunya harapan untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran yang akan memanfaatkan setiap anggota masyarakat tanpa mengira ideologi politik.

Iklan

"Memberi kemenangan kepada BN akan menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa rakyat Malaysia termasuk penyokong parti lain lebih mengutamakan negara berbanding politik," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan rakyat yang belum pernah menyokong BN dapat mengetepikan sentimen politik dan bersama mengundi BN pada 19 November ini.

"Ingatlah kestabilan serta kemakmuran amat-amat mustahak diperoleh pada PRU kali ini bagi menjamin masa depan negara dan anggota masyarakatnya," ujarnya.

Beliau menambah, nasib Malaysia dan anggota masyarakatnya tidak lagi boleh dipertaruhkan pada ketidakstabilan berikutan dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global tidak lama lagi.

Jelasnya, usaha dan rancangan Malaysia untuk bangkit sepenuhnya daripada impak pandemik juga tidak akan dapat dijayakan tanpa kestabilan dan kemakmuran.

"Saksikan gabungan politik selain BN sehingga hari ini masih bercelaru dan tiada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan negara dalam memasuki gelanggang PRU," katanya.