Hassan tidak mahu terlalu yakin menang di Pasir Gudang

Iklan
Hassan (kanan) berbincang dengan pihak pengurusan Runhill SAJ semasa melawat kawasan paip pecah di Bandar Baru Seri Alam, Pasir Gudang, pada Ahad.

PASIR GUDANG - Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pasir Gudang bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Hassan Abdul Karim mengaku pelbagai cabaran sedang menanti dalam usahanya mempertahankan kerusi dimenangi itu pada PRU14.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu tidak mahu kemenangan besarnya pada PRU14 akan menjadikannya leka atau selesa sehingga terlalu yakin pada PRU15.

Iklan
Iklan

Menurutnya, banyak perkara sudah berubah pada PRU15 termasuk pertambahan 30,000 hingga 40,000 pengundi muda dan pengundi yang didaftarkan secara automatik daripada keseluruhan 197,888 pengundi di Pasir Gudang pada kali ini.

"Saya dengan merendah hati merasakan keyakinan itu (menang di Pasir Gudang) ada tetapi tidak mahu terlalu yakin. Saya juga menghormati kekuatan pihak lawan misalnya BN khususnya UMNO bukannya calang-calang, jentera mereka kuat.

Iklan

"Tetapi dalam masa empat tahun ini, masyarakat sudah mula kenal, saya dijemput jawatankuasa masjid dan surau dan bina hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah-sekolah. Ini membuatkan saya yakin selain akan bekerja keras untuk PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan paip pecah di Bandar Baru Seri Alam di sini pada Ahad.

Iklan

Hassan berkata, keinginan rakyat pada PRU15 mahukan perubahan juga membuatkannya yakin pengundi akan terus menolak kerajaan yang masih mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, tidak mustahil untuk mengalahkan BN kerana bukan sahaja rakyat sudah berjaya melakukannya sebelum ini tetapi juga ahli-ahli UMNO turut menyumbang kepada kemenangan PH dengan menolak calon mereka sendiri pada PRU14.

"Saya lihat orang UMNO terutama di Pasir Gudang bukan ahli yang toktok atau taksub UMNO, mereka orang yang cerdik dan sangat rasional, mereka sayang parti tetapi akan melihat kepada calon-calon yang bertanding," ujarnya.

Sekiranya sekali lagi diberi mandat pada PRU15, beliau berhasrat untuk terus membantu mengeluarkan golongan miskin bandar di daerah ini menerusi program yang lebih tersusun dan objektif.

"Kini kita ada sasaran untuk dikenal pasti menerusi senarai e-kasih dan akan libatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membasmi kemiskinan bandar di Pasir Gudang. Sebelum ini memang kita ada lakukan tetapi tidak sistematik," kata beliau.

Pada PRU14, Hassan yang bertanding di Parlimen Pasir Gudang atas tiket PKR menang dengan majoriti 24,726 undi menewaskan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Besar Johor selain Ab Aziz Abdullah (Pas) dan Chee Jock (Bebas).