Anggota bomba seludup ketum berdepan tindakan tatatertib

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Zainal

KOTA BHARU - Anggota bomba yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan daun ketum di Jeli pada Khamis lalu, bakal berdepan tindakan tatatertib.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana anggota yang tidak berintergriti dan terlibat dengan kegiatan menyalahi undang-undang.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, bomba menunggu hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Jika terbukti bersalah, anggota terbabit boleh dikenakan tindakan tatatertib,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Ahad.

Iklan

Beliau turut menegaskan, pengesahan pihak polis mendapati van yang digunakan oleh suspek juga bukan kenderaan rasmi pasukan itu, sebaliknya sebuah kenderaan yang diubah suai menyerupai van bomba.

"Selain itu, semakan nombor casis tidak wujud dan enjin berkait dengan kes curi lori di Johor pada tahun 2013.

"JBPM mementingkan etika dalam penugasan selain membawa nama baik jabatan dalam apa-apa keadaan sekali pun,” katanya.

Iklan

Tambah Zainal, setiap pegawai dan anggota pasukan itu diterapkan dengan jati diri yang tinggi sebagai penjawat awam.

"Jika masih ada yang berani melanggar peraturan maka mereka wajib dikenakan tindakan setimpal,” katanya.

Akhbar sebelum itu melaporkan, sebuah ‘van bomba’ dinaiki dua lelaki lengkap beruniform pasukan itu melintasi sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.30 pagi.

Polis mengekori sejauh 10 kilometer dan menahan mereka di Kampung Rebanna.

Pemeriksaan lanjut menjumpai 850 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM8,500 yang dipercayai diseludup dari utara tanah air untuk pasaran di daerah Machang.

Seorang suspek berusia 29 tahun adalah penjawat awam bomba manakala seorang lagi suspek berusia 35 tahun, orang awam yang mengaku sebagai sukarelawan bomba.