LEGENDA badminton negara Datuk Lee Chong Wei, menyifatkan kejayaan gandingan, Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah apabila muncul beregu wanita pertama negara menjuarai saingan Terbuka Perancis di Paris, sebagai sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia.
"Tahniah kepada puteri negara, Pearly Tan dan M Thinaah. Kamu membanggakan kami. (Sesungguhnya) bangga sungguh (dengan pencapaian ini).
"Kedua-dua puteri ini benar-benar telah membanggakan kami dengan menjadi juara beregu wanita Terbuka Perancis pertama," ujar Chong Wei yang pernah mencipta magis pada edisi 2015 di Paris sebelum ini.
Kejayaan Pearly-Thinaah, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, hadir selepas pasangan ranking ke-11 dunia itu mengejutkan juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-19, 18-21, 21-15 pada aksi final di Stade Pierre de Coubertin, Paris.
Sementara itu Chong Wei secara peribadi menyifatkan:"Saya fikir mereka boleh pergi jauh, lebih jauh daripada kebanyakan.
"Teruskan merendah diri dan berlatih bersungguh-sungguh, langit adalah batasnya.
"Kedua-dua mereka adalah pemain yang merendah diri sentiasa mendapatkan nasihat daripada senior seperti saya.
"Jadi saya sangat gembira mereka berjaya mencapai kejayaan ini terutamanya mereka bertarung dengan pasangan terbaik Indonesia, Korea Selatan dan Jepun untuk merebut gelaran."