KUALA LUMPUR - Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal memberikan impak terhadap arah tuju dasar yang dilaksanakan di dalam negara pada masa depan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, golongan belia termasuk mereka yang pertama kali mengundi dalam pilihan raya kal ini perlu menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan turun mengundi pada 19 November nanti.
"Mengundi adalah sebahagian daripada kewajipan sivik anda kerana anda mengambil tanggungjawab untuk masa depan negara. Taruhannya tinggi kerana keputusannya akan memberi kesan kepada penggubalan dasar masa hadapan.
"Pilihan di tangan anda. Adakah anda akan memilih pembuat dasar yang responsif dan bertanggungjawab, sambil mengambil pendekatan pengurusan ekonomi yang reformis demi anak anda?
"PRU akan datang ini akan menyaksikan persaingan sengit untuk menarik hati dan pemikiran anda, jadi pilihlah dengan bijak kerana setiap undi adalah penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk ‘Mencorak Haluan Positif untuk Pembinaan Negara Bangsa dengan Ketangkasan, Ketahanan dan Impak’ pada Forum Ekonomi Belia 2022 di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini pada Sabtu.
Tengku Zafrul berkata, negara perlu memulihkan kestabilan untuk mengembalikan potensi dan tarikannya terhadap komuniti pelabur dan perniagaan antarabangsa.
Beliau turut menggalakkan anak-anak muda untuk sama-sama menyumbangkan perkhidmatan dan kepimpinan, tidak kira sama ada di sektor awam mahupun swasta.
"Sebagai penggerak masa depan negara, kita tidak akan berjaya berdaya tahan, jika anak muda di dalam negara kita kekal pasif dan terus ditinggalkan.
"Saya faham untuk beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin ada perkara yang agak mengecewakan dan melemahkan semangat, tetapi itulah cabaran yang ada pada hari ini.
"Cabaran ini seharusnya mewujudkan harapan dan keberanian, bukannya putus asa,” jelasnya.
Cabaran getir ekonomi global
Mengenai cabaran getir yang bakal dihadapi ekonomi global pada tahun hadapan, Tengku Zafrul berkata, kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan.
Jelasnya, ia disumbangkan oleh langkah mengetatkan keadaan kewangan akibat peningkatan kadar faedah yang dilakukan di negara ekonomi utama serta pelanjutan konflik di Ukraine.
Bagaimanapun katanya, kerajaan telah mengambil langkah perlu berani yang diperlukan untuk memastikan daya tahan ekonomi negara apabila berdepan cabaran masa hadapan, terutamanya kemungkinan keadaan ekonomi global yang suram bagi tahun 2023.
Beliau berkata, antara langkah diambil kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berada di landasan positif adalah melalui pelaburan untuk mewujudkan infrastruktur dan ketersambungan digital termasuk melalui perluasan liputan 5G.
"Kerajaan juga komited menangani keperluan pasaran pekerjaan di dalam negara. Bajet 2022 diperuntukkan RM4.8 bilion melalui JaminKerja untuk penciptaan pekerjaan, latihan semula dan peningkatan kemahiran.
"Pada April 2022, kerajaan turut mewartakan kenaikan dalam gaji minimum kepada RM1,500 untuk meningkatkan taraf hidup,” ujarnya.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut berusaha sebaik mungkin bagi melaksanakan agenda alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke dalam pembangunan dan pembuatan dasar ekonomi negara.
Menurutnya, untuk memastikan ekonomi negara terus tangkas, berdaya tahan dan mempunyai impak, kementeriannya juga telah mengamalkan pendekatan pengurusan ekonomi berdasarkan prinsip 3R iaitu responsive (responsif), responsible (bertanggunjawab) dan reformist (reformis).
Jelasnya, prinsip pertama membawa maksud bahawa kerajaan perlu sentiasa responsif terhadap keperluan rakyat dan bersedia untuk menghadapi landskap ekonomi domestik dan global.
"Prinsip responsif mesti dilengkapi dengan keperluan untuk menjadi ‘bertanggungjawab’. Perlu diingatkan melakukan perkara yang betul bukan sesuatu yang sentiasa popular.
"Namun, kita melakukan perkara yang bertanggungjawab yang akan membina ketahanan negara kita,” tegasnya.
Tambah Tengku Zafrul, elemen reformasi dalam pengurusan ekonomi negara juga perlu dilaksanakan bagi memastikan dasar dirancang memberi impak termasuk kepada pembinaan negara bangsa.
Jelas beliau, ia juga membabitkan isu penawaran pekerjaan dengan peningkatan kemahiran dan menangani pengangguran dalam kalangan belia.
Beliau berkata, ia memerlukan usaha reformasi dasar untuk memastikan pertumbuhan jangka masa panjang merentas generasi.
REAKSI