MELAKA - Seramai 20 penumpang sebuah bas menempuh detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran Alor Gajah di sini pada pagi Isnin.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, kesemua mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan empat perempuan berjaya keluar daripada bas berkenaan dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 pagi.
Menurutnya, seramai 21 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang dipandu seorang lelaki dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Batu Pahat, Johor.
"Bagaimanapun bas terbabit terbabas di bahu jalan dan semua penumpang berjaya dikeluarkan dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Ujarnya, pemandu berusia 29 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat pada jam 10.45 pagi.
"Operasi disahkan tamat sepenuhnya setelah memastikan tiada bahaya lain," katanya lagi.