'Tolak kerjasama GTA bukan sebab sombong' - Nurul Izzah

Iklan
Nurul Izzah ketika berucap dalam program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Kubang Pasu pada Ahad.

JITRA - Dakwaan Pakatan Harapan (PH) bersikap sombong apabila menolak pelawaan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menjalin kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tidak tepat, sebaliknya keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan rakyat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, PH harus lebih berhati-hati menyambut sebarang pelawaan kerjasama politik dengan mana-mana gabungan bagi mengelak perkara lama berulang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kepentingan rakyat harus diutamakan dan PH tidak mahu lagi mana-mana pihak meminggirkan agenda tersebut.

"Saya rasa tidak ada isu sombong atau ego. Sebenarnya lebih kepada mahu melindungi kepentingan rakyat. Mudah dan jelas.

Iklan

"Saya memang orang pertama akan beri ruang tetapi kita harus berhati-hati. Setelah berkali-kali 'dipatuk' sudah tentulah kita mahu teruskan dengan agenda telah ditetapkan. Lebih mudah begitu,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Kubang Pasu, di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan PH dan Perikatan Nasional (PN) sombong apabila menolak untuk bekerjasama dengan gerakan itu bagi memastikan orang Melayu bersatu sekali gus mencapai kemenangan dalam PRU15.

Iklan

Dalam pada itu, Nurul Izzah menegaskan, PH harus memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen untuk memastikan gabungan itu mempunyai kedudukan selesa dalam memperjuangkan agenda rakyat, yang harus menjadi prasyarat kepada mana-mana perbincangan kelak.

"Mahu tidak mahu, mana-mana gabungan sekalipun tidak mampu untuk mendapat majoriti sepenuhnya. Itulah realiti politik Malaysia.

"Namun kita tidak buat perbincangan atau mengambil kira semua opsyen itu di belakang tabir,” katanya.

Menurutnya, rakyat harus memahami sekiranya situasi tersebut berlaku dan PH tiada pilihan selain mengadakan kerjasama rentas gabungan bagi membentuk kerajaan.

Nurul Izzah (dua dari kanan) bersama calon Parlimen Kubang Pasu, Aizuddin Ariffin (tiga dari kiri) melaungkan reformasi selepas program berakhir.

"Saya harap rakyat faham, kalaulah kerusi yang menang didapati kurang daripada 100 sebagai contoh, mahu tidak mahu itu adalah antara opsyen yang terpaksa kita ambil kira,” katanya lagi.

Mengulas tindakan GTA yang menawarkan kerjasama kepada PH mahupun PN serentak sama ada sekadar mahu ‘menumpang’ populariti kedua-dua gabungan berkenaan, Nurul Izzah sifatkan kepentingan rakyat harus dijadikan panduan dan bukan sebaliknya.

"Saya tak mahu bagi mana-mana tanggapan, harus jaga batasan supaya agenda mempertahankan kepentingan rakyat tidak dipinggirkan,” ujarnya.

Nurul Izzah memaklumkan, PH lebih optimis untuk mencipta kemenangan lebih besar pada PRU15 berbanding PRU14 lalu berdasarkan momentum rakyat selepas berlaku beberapa peralihan kuasa.

"Saya lihat momentum sangat baik. Namun PH harus kerja keras dan pastikan calon yang dipilih mewakili kawasan perlu bertemu seramai mungkin pengundi. Walaupun petanda itu nampak positif, namun perlu berhati-hati juga.

"Kerana kalau momentum baik sekalipun tetapi pengundi yang layak tidak dapat mengundi disebabkan oleh tambang mahal, tak dapat pulang, undang-undang atau cuaca menjadi penghalang, ia membimbangkan saya,” ujarnya lagi.