Peguam Negara bukan jawatan politik

Iklan
Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

SHAH ALAM - Jawatan Peguam Negara adalah jawatan yang amat penting dan ia perlulah sentiasa dilihat bersih dan tidak menyebelahi mana-mana pihak serta dicemari kepentingan politik.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, oleh sebab itu beliau mencadangkan kepada kerajaan akan datang agar meminda semula Perlembagaan Persekutuan dalam pelantikan Peguam Negara.

Iklan
Iklan

Katanya, mengikut Peruntukan Perkara 145 yang berkuat kuasa sekarang, Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Perkara 145 ini telah dipinda daripada yang asal melalui Akta 26/1963 yang mula berkuat kuasa pada 16 September 1963.

Iklan

"Perkara 145 yang asal memperuntukkan seperti berikut: Yang di-Pertuan Agong hendaklah, selepas berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, melantik daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan seorang Peguam Negara, yang hendaklah seorang yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kata Shamrahayu lagi, selain pelantikan, perkara lain yang perlu dipinda adalah pemecatan atau penamatan jawatan Peguam Negara.

Iklan

Katanya, mengikut Perkara 145 sekarang, Peguam Negara memegang jawatan selagi mana diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini bermaksud Perdana Menteri juga boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat atau menamatkan jawatan Peguam Negara.

Menurutnya, peruntukan asal Perkara 145 menyebut Peguam Negara tidak boleh dipecat tanpa ‘perbicaraan’ atau tanpa prosiding khusus untuk tujuan tersebut.

"Jawatan Peguam Negara perlu bebas dan selamat daripada campur tangan pihak yang mempunyai kepentingan, seperti pihak eksekutif.

"Dapat disimpulkan bahawa jawatan Peguam Negara adalah bukan jawatan politik.

"Namun pindaan kepada Perlembagaan telah membuka ruang kepada campur tangan politik dalam pelantikan dan pemecatan atau penamatan perkhidmatan Peguam Negara,” katanya.

Selain itu, Shamrahayu turut mencadangkan agar ahli-ahli Parlimen yang memenangi Pilihanraya Umum ke- 15 (PRU15) akan datang dengan serius dapat membincangkan perkara ini di Dewan Rakyat.

"Semoga jawatan Peguam Negara tidak dicemari campur tangan politik sehingga menjadi beban kepada institusi raja, iaitu Yang di-Pertuan Agong yang juga mendapat nasihat daripada Peguam Negara,” katanya.