KEPALA BATAS - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bagi menunjukkan keikhlasan dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
Perkara itu dibangkitkan Pemuda PH Pulau Pinang dalam mesyuarat yang diadakan di sini pada Ahad.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Pemuda PH Pulau Pinang, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit mengenai isu Muda yang akan bertanding dalam kawasan Parlimen Kepala Batas seperti diputuskan antara perbincangan PH Pusat dengan Muda sebelum ini.
"Kami menghormati keputusan yang telah diambil tetapi kami ingin tegaskan bahawa Muda Pulau Pinang harus menggunakan logo PH bagi kerusi Parlimen Kepala Batas," katanya.
Dalam pada itu Pemuda PH Pulau Pinang berkata, pada awal September, Majlis Presiden PH menerima permohonan daripada Muda untuk menyertai PH secara rasmi.
Jelas mereka, PH telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama politik dengan Muda dalam menghadapi PRU15 dan permohonan Muda untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diproses kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), manakala tarikh PRU15 tidak lama lagi.
"Ini bermaksud tiada alasan jika PRU15 kali ini Muda tidak menggunakan lambang logo PH walaupun parti tersebut belum diterima secara rasmi disebabkan isu teknikal.
"Sebagai menunjukkan keikhlasan dan bekerjasama sebagai satu pasukan, kami sekali lagi ingin tegaskan agar pihak Muda Pulau Pinang menggunakan hak fleksibiliti supaya gunakan logo PH bersama di kawasan Parlimen Kepala Batas," katanya.